ERTI SEBUAH PERKAHWINAN……


Perkahwinan adalah lambang kebesaran Tuhan menyatukan manusia. Perkahwinan juga adalah jalan untuk memiliki zuriat. Natijah perkahwinan selalunya akan melahirkan sebuah kepimpinan yang mempunyai kelas dan nilai tersendiri. Perkahwinan secara tersiratnya akan mewujudkan kepimpinan. Sekiranya kepimpinan itu mengikut Al-Quran dan sunnah, sudah tentunya hasilnya akan menemui ketakwaan. Ketakwaan adalah permata paling bernilai yang dicari oleh manusia.

Dalam perkahwinan itu sendiri telah terdapat beberapa adab dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh seseorang yang bakal menempuhi alam perkahwinan. Peraturan dan adab yang ditentukan oleh Allah adalah rahsia keharmonian sesebuah rumah tangga yang dibina. Sekiranya adab tesebut tidak dijadikan panduan dalam mengemudi sebuah bahtera perkahwinan, bimbang matlamat serta kesempurnaan rumah tangga yang diimpikan tidak menjadi realiti.

Dari peringkat awal proses memilih pasangan hidup itu sendiri terdapat adab dan tatacaranya. Sebagaimana yang digariskan dalam sebuah hadis Rasullah S.A.W, bahawa dalam memilih seseorang wanita untuk dikahwini kerana harta, kecantikan, keturunan dan agama. Namun, Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa agama harus menjadi keutamaan apabila memilih pasangan.

Kerukunan sesebuah rumah tangga itu boleh bertahan lama apabila suami isteri menjaga adab pergaulan sesama mereka. Setiap pasangan mesti tahu dan jelas peranan masing-masing. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan, kehidupan juga sudah berubah bila sudah mendirikan rumah tangga. Masa yang sebelum ini diperuntukkan untuk kawan-kawan perlu dikurangan. Fokus utama sekarang adalah untuk keluarga dan pasangan masing-masing. Rumah tangga ibarat pantai yang terdedah kepada pukulan ombak. Pantai harus menjadai landai dan rela menahan terjahan ombak setiap masa. Begitulah nisbah kehidupan rumah tangga yang rata-ratanya akan diuji oleh faktor luaran dan dalaman.

Suami harus bersabar di atas sikap isteri yang dijadikan Allah lemah dan kurang mengikut ukuran agama. Kejadian kurang menyenangkan, gangguan, tekanan dalam kehidupan seharian adalah lumrah alam rumah tangga. Ia dijadikan Allah untuk mematangkan suami kerana melaluinya terbina sifat sabar dan redha kepada suami. Suami harus meningkatkan kewibawaan mengatasi masalah tersebut mengikut akal dan hukum agama yang telah dianugerahkan Allah.

Menasihati isteri dengan lemah lembut apabila berlaku kesilapan dipihak isteri adalah kaedah yang sebaik-baiknya. Jangan menyalahkan isteri sehinggakan boleh menegangkan keadaan. Harus diingat wanita itu dicipta dari tulang rusuk yang bengkok, andai terkasar bimbang akan patah ia. Bersikap terlalu lembut sehingga menghilangkan ketegasan suami juga ditegah. Ia boleh menyebabkan isteri naik muka sehingga boleh melupakan tanggungjawab dan tata susila isteri.

Salah satu sifat yang disukai dalam agama ialah melahirkan sikap cemburu suami terhadap mana-mana keadaan yang tidak sesuai dengan syariat berlaku dalam rumah tangga. Suami harus mempunyai sikap cemburu terhadap isteri yang keluar rumah walaupun dengan izinnya. Ia dilakukan dengan tidak keterlaluan. Ini dibuat supaya isteri tidak leka dengan lambaian dunia dan terlupa memelihara adab sopan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Isteri juga sentiasa beringat supaya menjaga pergaulan dan auratnya apabila berurusan dengan dunia luar.

Suami harus berperanan sebagai murabi di dalam rumah tangga. Ia menjadi contoh dan teladan kepada isteri dan anak-anak. Suami perlu mendidik isteri dan anak-anak kearah ketaatan kepada Allah. Tarbiah yang baik dan sempurna dapat mengelakkan isteri daripada jatuh ke kancah nusyuz. Kadang-kadang nusyuz berlaku disebabkan suami tidak mempunyai kewibawaan untuk menyelesaikan pentadbiran di dalam rumah tangga. Bagi suami yang mempunyai isteri ramai, keadilan harus diletakkan sebagai perkara pokok dalam menyusun giliran dan tanggungjawab. Keadilan menurut Islam bukanlah bermaksud ukuran benda atau bilangan. Keadilan di dalam konteks ini ada kalanya bersifat subjektif.

Renungkanlah dan bertanya pada diri sendiri apakah kita sudah menunaikan tanggungjawab yang sempurna atau setidak-tidaknya berusaha ke arah itu?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to " "

Post a Comment