Dari hutan hujan tropika Sri Iskandar ke hutan batu Sri Manjung

Minggu Wawasan Siswa adalah minggu yang amat perit bagi kami pelajar-pelajar baru. Tidur kami terganggu. Kesannya, semasa mendengar taklimat masing-masing akan terasa mengantuk, terlelap dan terasa berat mata. Aku duduk dalam senarai belakang bersama Hairi yang baru aku kenal, selain Yuhanis. Mereka berada dalam kumpulan lain, tapi masih berada di kelompok belakang , menjadi rakan berbual. Kerana tak tahan mengantuk, kami telah melakukan pelbagai cara tetapi masih lagi tidak mendatangkan kesan. Kami menyapu minyak angin cap kapak pada bahagian mata dan muka agar tidak mudah terlelap. Tapi ternyata, mata yang mengantuk itu tidak dapat tertahan-tahan lagi. Tiada waktu bagi kami untuk curi-curi tidur. Nak tak nak, terpaksa juga menempuhi satu hari yang mengantuk serta membosankan -aktiviti mendengar taklimat. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan, otak aku tidak mampu untuk lagi menyerap mesej yang cuba disampaikan.

Akibatnya, waktu Qiyamulail menjadi medan bagi pelajar yang tidak cukup tidur. Masing-masing tidak bangun dari sujud (nampak sangat ramai yang mengantuk). Letih mendaki anak tangga hingga ke tingkat 5, berulang alik dari bilik dan dewan makan. Teringat aku pada satu petang, masing-masing menunggu waktu minum petang. Apabila waktu minum petang, berpusu-pusu pelajar turun ke dewan makan. Hidangan pada petang itu adalah sebiji kuih dan teh panas. Penat yang belum hilang menuruni anak tangga jelas terasa di sebalik hidangan yang tak seberapa itu. Dalam suasana bising, kedengaran Mat Nordin mengeluh tanda tidak berpuas hati. “isk, sebijik??? sebijik cucuq ja...penat ja turun...” katanya dengan lantang dalam loghat utara.

Salah satu aktiviti lain, proses membuka akaun bank untuk proses pinjaman PTPTN. Sempat juga mencuri masa untuk berehat. Pelajar lain mengambil peluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan baru dan berbual. Salah satu topik yang dibualkan menarik minat aku- tentang selok belok kursus yang akan diambil. Dia memperkenalkan diri sebagai Hatta. Aku memasang telinga mendengar perbincangan antara kumpulan tersebut. Katanya, kursus yang ditawarkan di UiTM Perak terhad. Seni Halus, Senireka Fesyen dan Seramik. Mendengar penjelasan Hatta, aku rasakan dunia semakin gelap seolah mahu berhenti untuk meneruskan pengajian. Tiada cara lain untuk meneruskan pengajian dalam bidang grafik kecuali berhijrah ke Shah Alam. Perlukah aku meneruskan pengajian? Soalan yang bermain-main dalam kotak fikiran. Apapun aku perlu cuba.

Seingat aku, malam terakhir program minggu suaikenal, kami dapat meraikan satu program di Ipoh bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Tetapi terdapat sebilangan pelajar yang tidak dapat pergi ke program tersebut kerana didenda akibat lewat dalam menghadiri aktiviti sepanjang minggu orientasi. Pelajar yang ditangkap merokok juga didenda, membuat persembahan nyanyian nasyid yang menyanyikan lagu Intifada. Selepas malam itu, aku rasa satu penyeksaan hampir berakhir. Maka bermulalah episod baru yang banyak mengubah hidup.

UiTM Manjung, kami datang!!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Dari hutan hujan tropika Sri Iskandar ke hutan batu Sri Manjung"

Post a Comment