Cerita dari seorang kawan :……. ?


Hari ini semua adik beradik aku akan pulang beraya di kampung. Mereka biasanya pulang ke kampung, setelah beraya di rumah mertua masing-masing terlebih dahulu. Biasanya abang atau kakak aku akan pulang pada hari raya kedua. Ibu yang di kampung agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak pulang beraya, semangatnya lain. Ibu gagahi juga untuk bangun seawal pagi, menggoreng nasi buat santapan pagi bagi mereka yang akan pulang menjengah pagi nanti.

Aku yang sememangnya tinggal di kampung, menolong apa yang patut sambil memerhati
kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit. Bengkak dan kebas kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku hulurkan tangan untuk membantu. "tak payah! biar mak yang buat, nanti lain pula rasanya" katanya. Aku biarkan sahaja, walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan ibu. Bersemangat untuk menyediakan nasi goreng untuk anak-anak dan cucu-cucunya yang akan pulang untuk merayakan hari raya bersamanya.

Aku tahu, disudut hati ibu masih terasa sedih dan sayu kerana anak-anaknya tidak dapat beraya bersama di pagi raya. Tetapi, riak mukanya langsung tidak ditunjuk, malah ingin pula menjamu anaknya. Terhenjut-henjut ibu berjalan ke sana ke mari mengambil dan menyediakan bahan-bahan untuk nasi goreng. Bukan main khusyuk dan bersungguh, cuba menyediakan juadah yang semampunya.

Apa yang dinanti sudah kunjung tiba. Mereka sudah selamat pulang ke kampung. Aku mula hidangkan nasi yang digoreng ibu untuk abang dan kakak yang tiba dengan anak-anak mereka. Semuanya asyik menjamu selera. Memang berselera mereka makan nasi yang digoreng ibu. Ibu tahu, anak-anak dan cucu-cucunya suka akan nasi goreng hasil dari air tangannya. Dalam tidak sedar, nasi sudah hampir habis.

Terdetik dihatiku, " ahhh... mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu" seraya itu abang aku bertanya "siapa yang tak makan lagi nasi ni".

Aku menjawab, "mak belum makan apa lagi tu!!!" Ibu dengan bersungguh menjawab "Ehh... mak tak mau…tak lalulah nasi goreng, nak makan roti ja sat lagi’.

Dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kata aku dalam hati, "oohh... mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit diebetisnya..."

Bila semua dah keluar menjengah untuk beraya ke rumah saudara mara, aku lihat ibu terhenjut-henjut ke dapur. Biasanya ibu tak ikut beraya, "takut nanti ada orang datang umah beraya" ibu mengungkapkan alasannya.

Lantas, aku bertanya "mak nak apa..nak ambilkan".

"takpa nak rasa nasik ni sikit" katanya.

Dari jauh, aku lihat ibu rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki di dalam kuali untuk dimakan. Mata aku mula bermanik, sayu dan sedih. Terguris sungguh hati aku. Air mata aku sudah tidak tertahan-tahan.

Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya. Zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya, asal mereka semua kenyang.

Aku benar-benar kalah dengan apa yang aku saksikan..

Ya Allah, Engkau peliharalah Ibu. Ampunilah dosanya, berilah kekuatan pada anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga.

Cintaku padamu membawa ke jalan yang benar. Terima Kasih atas segala pengorbananmu. Semoga Allah sentiasa memberkatimu. Amin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Cerita dari seorang kawan :……. ?"

Post a Comment